Monday, April 27, 2009

Mencari Kebenaran dan Jawapan

Tulisan saya pada kali ini adalah hasil daripada perbincangan saya dengan seorang rakan di Florida, Pali di ruangan komen bagi tulisan saya sebelum ini yang bertajuk Witch Riding. Komen-komen Pali yang bernas telah memberi saya inspirasi untuk menulis mengenai perkara ini. Saya rasa elok juga sekiranya saya menulis mengenai perbincangan tersebut dengan lebih jelas di sini supaya masing-masing dapat berkongsi ilmu, meluaskan pandangan dan mendalamkan pemahaman. Bagi diri saya sendiri yang amat daif dan serba kekurangan dalam apa jua ilmu dan pengetahuan yang dimiliki Yang Maha Esa ini, tulisan ini diharap dapat menjadi platform bagi percambahan minda dan pemantapan rohani.

Rakan saya, Pali menyatakan dalam komennya bahawa pada zaman ini, kita tidak harus terlalu bersifat saintifik sehingga penjelasan Al-Quran dan Hadis menjadi rujukan kedua, terutamanya dalam mencari persoalan bagi pelbagai misteri di dalam dunia ini. Witch riding adalah salah satu daripada misteri tersebut sudah semestinya! Pali juga telah memberikan contoh mengenai penjelasan mengenai kejadian hujan. Kata Pali, menurut pandangan sains, awan terbentuk daripada proses kondensasi yang kemudian apabila ia sarat dengan air, awan akan berubah menjadi hitam lalu bergerak ke kawasan yang panas. Kemudiannya hujan yang lebat akan turun membasahi Bumi. Bunyi guruh pula adalah disebabkan oleh pergeseran molekul-molekul air yang sarat itu. Kemudian berlakunya kilat yang sambar menyambar apabila cas-cas elektron yang ada di antara langit dan bumi menarik antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, kata Pali lagi, pandangan agama mengenai kejadian hujan pula adalah seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW apabila ditanya oleh segolongan umat Yahudi yang mahu menguji Rasulullah SAW berkenaan perihal guruh dan kilat. Rasulullah SAW menjawab kepada golongan Yahudi tersebut bahawa guruh itu adalah suara malaikat yang menghalau awan-awan tersebut dan pada malaikat-malaikat tersebut terdapatnya tongkat dan dari tongkat itu keluarlah percikan api yakni kilat apabila dipukul oleh awan-awan tersebut.

Apa yang ingin Pali sampaikan di sini ialah kita yang hidup pada zaman serba moden dan canggih ini sememangnya boleh dikatakan bergantung sepenuhnya kepada penjelasan dan penemuan saintifik sehingga kadang kala lupa untuk melihat kembali kepada penerangan dan cerita daripada sumber yang paling utama iaitu Al-Quran dan Hadis. Kita harus sedar bahawa pelbagai teori saintifik yang telah dan sedang dikemukakan oleh para saintis sebahagiannya adalah amat bercanggah dengan ajaran Islam. Teori Revolusi Darwin misalnya sudah cukup untuk memberitahu kita bahawa dalam mencari kebenaran dan jawapan kepada apa jua persoalan di dalam dunia ini perlulah diseiringkan dengan sumber ilmu yang ulung iaitu Al-Quran supaya akidah tidak terpesong dan kebenaran serta jawapan akan dapat ditunjukkan.

Saya percaya bahawa Islam dan saintifik itu tidak pernah bercanggah antara satu sama lain. Malahan, dalam mencari jawapan kepada persoalan-persoalan saintifik yang penuh sukar itu adalah perlu untuk merujuk kepada Al-Quran yang menjadi sumber ilmu dan pengetahuan umat manusia yang paling ulung. Setiap kemusykilan dan kesangsian itu (sama ada saintifik atau tidak), Al-Quran pasti ada jawapannya. Sebagai contoh adalah mengenai penciptaan alam semesta. Saintis menjelaskan bahawa alam semesta terbentuk melalui fenomena Big Bang kira-kira 14 billion tahun yang lalu. Namun begitu apa yang masih menjadi persoalan kepada saintis hari ini ialah bagaimana benda-benda bukan hidup dan tidak bernyawa (inanimate) daripada unsur-unsur seperti hidrogen dan nitrogen sejak berbiliion tahun yang lalu boleh membentuk alam semesta dan seterusnya benda-benda hidup serta kehidupan secara keseluruhannya.

Ini kerana, para saintis percaya bahawa semua benda hidup tidak boleh berasal daripada benda bukan hidup atau tidak bernyawa. Saya pasti anda pernah mendengar nama Loius Pasteur, seorang Ahli Mikrobiologi kurun ke-19 yang telah menghasilkan salah satu teori sains hayat yang paling terkenal iaitu germ theory of disease. Eksperimen klasik Pasteur telah membuktikan bahawa benda hidup tidak boleh terbentuk sama sekali daripada benda-benda tidak bernyawa. Maka dengan itu, dengan berpegang kepada teori Pasteur, saintis memutuskan bahawa adalah mustahil untuk membentuk kehidupan dengan hanya unsur-unsur bukan hidup seperti hidrogen.

Namun begitu, Al-Quran menjelaskan bahawa daripada unsur-unsur tidak bernyawa itulah yang telah membentuk kehidupan. Kembali kita kepada contoh pembentukan alam semesta. Bumi semasa peringkat awal penciptaannya telah dibuktikan melalui kajian saintifik bahawa ia adalah steril dan tidak produktif. Hanya terdapat unsur-unsur seperti karbon, hidrogen, nitrogen, besi dan sebagainya di Bumi pada ketika itu. Jika kita melihat kembali kepada prinsip kehidupan yang dicetuskan oleh Pasteur, seoalah-olah adalah mustahil untuk mengatakan bahawa kehidupan yang penuh diversiti pada hari ini adalah terbentuk daripada unsur-unsur tidak bernyawa yang ada di atas Bumi ini suatu masa dahulu.

Secara tidak langsung ini menunjukkan bahawa sains sebenarnya tidak boleh menjelaskan atau memberi jawapan yang mutakhir berhubung perkara ini. Ini adalah kerana sains menolak sama sekali pertimbangan tidak logik dan yang tidak mempunyai bukti empirikal. Mana mungkin sains dapat membuktikan bahawa benda bukan hidup dapat dicipta daripada unsur-unsur tidak bernyawa seperti yang telah dibuktikan oleh Pasteur dalam eksperimennya. Namun begitu, jika sains itu dikolobrasikan dengan agama (Islam), pasti segala persoalan akan terjawab. Al-Quran dengan jelas telah menerangkan bahawa transformasi unsur-unsur tidak bernyawa kepada benda hidup sebenarnya adalah salah satu daripada petunjuk kebesaran Allah:

".....bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa matair, Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur? "

[Yassin:33-35]

Jawapan kepada misteri bermulanya kehidupan sebenarnya sudah tertulis dengan jelas di dalam Al-Quran! Bukankah menjadi lebih mudah mencari kebenaran dan jawapan apabila kita berpaksi kepada sumber ilmu yang terulung?

Wallahualam....

Wednesday, April 15, 2009

Witch Riding

Saya melawat ke blog Quntum sebentar tadi. Artikel terbaru yang ditulisnya sangat menarik. Mengenai pendinding. Quntum juga sebenarnya seperti saya, percaya kepada perkara-perkara misteri dan aktiviti paranormal. Mahu atau tidak kita harus percaya bahawa bumi ini bukan didiami oleh manusia semata-mata. Kewujudan 'mereka' sebenarnya adalah antara petunjuk kebesaran Yang Maha Esa.

Di sini saya cuma ingin berkongsi cerita mengenai fenomena yang biasa berlaku dalam masyarakat kita iaitu ditindih semasa tidur. Saya tertarik untuk bercerita mengenai perkara ini kerana saya sendiri pernah beberapa kali mengalami peristiwa ditindih ini. Saya percaya ramai di antara kalian yang juga pernah mengalaminya. Ada yang mengatakan bahawa fenomena ditindih semasa tidur adalah perbuatan makhlus halus. Namun begitu terdapat juga kajian yang mengatakan bahawa ia adalah fenomena biasa yang berlaku dalam fisiologi dan psikologi manusia.

Di barat, fenomena ditindih semasa tidur dikenali sebagai sleep paralysis atau lebih popular dengan istilah witch riding. Menurut kajian di Amerika Syarikat, sleep paralysis ini anehnya lebih cenderung terjadi kepada golongan African-American dan Asia berbanding Caucasian. Faktor budaya dikatakan sedikit sebanyak mempengaruhi terjadinya sleep paralysis.

Secara ringkasnya, kita mesti memahami bahawa manusia terdiri daripada tiga elemen utama iaitu jasad, roh/jiwa dan minda. Sleep paralysis sering berlaku semasa kita hendak tidur atau bangun daripada tidur. Untuk membolehkan kita tidur, ketiga-tiga elemen yang sedang berada dalam keadaan jaga (awake state) perlu memasuki ke keadaan tidur (sleeping state atau REM iaitu Rapid Eyes Movement state). Zon peralihan di antara waktu jaga dan waktu REM tersebut adalah merupakan satu keadaan yang dikenali sebagai perantara. Di perantara inilah berlakunya sleep paralysis. Pada ketika ini, berlakunya satu mekanisme yang mengarahkan otak memutuskan hubungan dengan seluruh anggota badan. Di sinilah merupakan titik terpenting yang menyebabkan kita yang sedang berada dalam keadaan separuh sedar berasa lumpuh, tidak boleh bergerak dan berasa seolah-olah ditindih kerana otak sudah tidak lagi berhubung dengan anggota badan tetapi minda kita masih lagi berhubung dengan otak sama ada secara penuh atau pun separa penuh. Dalam keadaan biasa, otak memutuskan hubungan dengan anggota badan dan minda kita secara serentak untuk memasuki ke keadaan tidur. Sleep paralysis yang berlaku semasa kita bangun daripada tidur juga mengaplikasikan teori yang sama.

Saya sendiri pernah beberapa kali mengalami fenomena ini. Memang sukar untuk memutuskan sama ada ia adalah merupakan satu fenomena biasa dalam fisiologi dan psikologi manusia atau pun disebabkan oleh makhluk halus. Saya sendiri tidak pasti kerana dua kejadian yang pernah berlaku ini membuatkan saya terus tertanya-tanya. Pertama, saya pernah mengalami sleep paralysis semasa bulan puasa. Pada mulanya saya fikir ia memang satu fenomena biasa dalam badan manusia kerana berpendapat tiada jin yang akan mengganggu umat manusia di bulan Ramadahan. Tetapi tak tahulah pula kalau-kalau jin-jin Islam yang masih bebas semasa bulan puasa tersebut masih mengganggu manusia. Maklum sahajalah sebaik-sebaik jin adalah sejahat-jahat manusia! Namun begitu kejadian kedua yang berlaku sedikit sebanyak membuat saya terfikir mengenai misteri fenomena sleep paralysis ini. Ia berlaku semasa di kolej matrikulasi di mana saya mengalami sleep paralysis berulang kali (4-5 kali) pada satu malam. Setiap kali saya ingin melelapkan mata sahaja (dengan bacaan pelbagai doa dan surah), saya ditindih hingga membuatkan saya langsung tidak dapat tidur dan sangat kepenatan. Disebabkan terlalu penat, saya kemudiannya terus mengambil surah yassin dan meletakkannya di atas bantal di tepi kepala. Alhamdulillah, saya terus tidur lena dan tidak lagi ditindih!

Jadi bagi saya sleep paralysis adalah satu fenomena yang masih lagi perlu dikaji dengan lebih ekstensif supaya diri tidak dibiarkan terus diselubungi.......misteri!

Monday, April 6, 2009

Botak

Tiba-tiba terkenangkan saat memotong rambut dengan potongan nombor 1 beramai-ramai semasa Modul Bomba DPA. Rata-rata semuanya pertama kali memotong rambut pendek sebegitu. Semuanya resah. Risau kalau potongan begitu buat diri tidak lagi hensem dan tidak lagi macho. Tapi potongan nombor satu ini memang bagus. Kepala rasa ringan je. Tak tahulah bila nak berkepala botak macam ini lagi..

Saat-saat terakhir sebelum semuanya menjadi botak

"Alamak! Mesti aku jadi tak hensem bila dah botak. Mesti Amini tak suka aku nanti!" kata Sayuti sambil memegang rambutnya buat kali terakhir

"Aku tetap macho walaupun botak!" kata Rizal yang perasan

Fairuz tetap tersenyum walaupun tahu dirinya akan kelihatan pelik tidak lama selepas itu

"Akulah Pegawai SPR yang serba boleh. Kira undi boleh, botakkan kepala orang pun boleh" kata Ibrahim dengan penuh bangga sambil membotakkan Roy

Erk.... kau nak jadi sami ke, Kamal?

Haha!

Thursday, April 2, 2009

Ironik

Pada mulanya ia hanyalah sekadar jenaka April Fool, tetapi apabila mendapat respon daripada rakan-rakan saya berasa amat terharu. Niat untuk ketawa terus hilang. Rupa-rupanya ramai yang memberikan sokongan kepada blog saya yang tidak seberapa ini. Ia benar-benar buat saya terharu. Sangat ironik, bukan?

Terima kasih kepada Quntum, Deham, Hadi, Ikraam, Hayati, Halim, Pali, Rio, Muzem, Yaya, Am, Emmy, Anonymous1, Anonymous2 dan Anonymous3 atas sokongan yang anda berikan. Saya kini mendapat semangat baru untuk terus menulis dan saya juga akan sentiasa memberikan sokongan kepada penulisan anda semua!

Wednesday, April 1, 2009

Tamat

Hidup ini terlalu berharga. Banyak perkara yang perlu dilakukan. Banyak impian yang perlu digapai.

Apa yang berlaku dalam hidup ini juga perlu disimpan dalam hati, dalam jiwa dan dalam minda. Tidak perlu dihebah di sana sini.

Apa guna dicerita itu dan ini jika membuat orang lain terasa hati.

Saya rasa inilah penamatnya.

Terima kasih atas sokongan semua.