Friday, April 13, 2012

Cekelat Udang

Cekelat udang
Dibawa abah ketika pulang
Dari urusan jual dan dagang

Cekelat udang
Dibalut kertas berwarna terang
Disalut agar-agar nipis melayang

Cekelat udang
Luarnya putih berbelang-belang
Dalamnya pula berwarna perang

Cekelat udang
Jadi peneman malam dan siang
Buat hati berbunga girang

Cekelat udang
Jadi nostalgia sentiasa dikenang
Walau semakin dilupa orang



Saturday, April 7, 2012

Bunohan

Saya baru menonton filem Bunohan buat kali kedua di Astro First. Mungkin juga akan menontonnya sekali lagi buat kali ketiga nanti sebelum tamat tempoh tontonan yang diberikan oleh Astro sehingga Isnin depan.

Bunohan adalah sebuah karya berat, sebuah filem bergenre drama yang artistik atau abstrak. Sudah banyak filem sebegitu daripada pelbagai negara telah saya tonton - USA, UK, Perancis, Iran, Jepun, Bosnia, Israel, Austria, Jerman dan banyak lagi. Terlalu banyak sehingga saya sendiri tidak tahu bilangan sebenar filem-filem drama yang artistik dan sarat dengan nilai-nilai halus yang pernah saya tonton sebelum ini.

Malaysia juga tidak ketinggalan menghasilkan filem-filem sebegitu cuma bilangannya sangat kecil jika dibandingkan dengan filem-filem komersil dengan genre aksi, komedi, cinta dan seram yang begitu lazim dengan masyarakat negara ini. Kaki Bakar, Jogho, Wayang, Budak Kelantan dan filem-filem Allahyarham Yasmin Ahmad adalah merupakan antara filem-filem artistik tempatan yang sarat dengan pelbagai nilai yang terungkap secara tersurat dan tersirat.

Bunohan arahan Dain Said menambah koleksi filem artistik tempatan yang pada pandangan saya setanding dengan filem-filem daripada negara luar yang pernah saya tonton. Jalinan cerita Bunohan disusun dengan kemas, persembahan shotnya amat cantik dan sinematografinya benar-benar mengagumkan. Ia juga penuh berselirat dengan mesej dan nilai yang perlu dikesan oleh penonton. Lakonan para pelakonnya pula amat berkesan, terutamanya Faizal Hussein sebagai teraju utama. Menjadi kebiasaan bagi filem-filem artitstik juga, Bunohan disampaikan secara tidak linear dan tidak literal. Untuk menghayati dan memahaminya, penonton perlu banyak berfikir. Maka sebab itulah saya rasa saya perlu menonton Bunohon sekali lagi buat kali ketiga nanti :)

Adiwiraku

Dengan hanya bertuala dan berselipar jepun, aku ke bilik David di tingkat atas. Ketuk pintu. Tiada jawapan. "Argh! Ke mana pulak David ni!". Terus ke bilik Lutfi Ramli. Ketuk pintu. Beberapa saat kemudiaan, pintu dibuka. Di hadapan aku, berdiri Mahadi Halim, rakan sebilik Lutfi Ramli. "Lutfi Ramli mana?" aku bertanya kepada Mahadi Halim. "Dia balik kampung" jawabnya. Kerana tiada pilihan, aku terpaksa meluahkan perasaanku kepada Mahadi Halim. Setelah meluahkan perasaan kepada Mahadi Halim, dia berikan aku sehelai baju t dan seluar track bottom untuk dipakai. Juga beberapa keping duit syiling untuk menelefon Lutfi Ramli yang sedang berada di kampung. Maka dengan sebab itulah Mahadi Halim menjadi adiwiraku!

Thursday, April 5, 2012

Pukul Lapan Malam

pukul lapan malam
belum betul kelam
motokar masih berderam
puteri sedang bersiram
perawan mula melaram
tapi hati sudah muram
teringat duka silam
terus rebah ke tilam
mahu segera karam
dalam mimpi semalam