Sunday, October 12, 2008

Nak Pergi Tingkat Berapa?

Nota: Artikel ini adalah merupakan artikel asal daripada blog friendster saya yang ditulis pada 9 November 2007

Kali terakhir saya menulis blog ini ialah pada 29 Januari yang lalu. Sudah lebih sembilan bulan berlalu tanpa saya mencoretkan apa-apa di ruangan blog ini. Kesibukan dengan tugas sememangnya menjadi penghalang untuk saya meluangkan masa untuk menulis. Namun hakikatnya saya masih tetap menulis. Menulis kertas-kertas cadangan, kertas kerja serta ulasan untuk pertimbangan pihak pengurusan atasan Kementerian tempat saya bertugas dan juga agensi pusat adalah antara tanggungjawab saya kini. Menulis kertas-kertas cadangan sama seperti menulis tesis atau disertasi bagi projek tahun akhir. Sangat memenatkan. Mana tidaknya, ia melibatkan fakta dan maklumat yang tepat dan terkini. Teringat saya kepada pengalaman saya menyiapkan tesis bagi projek tahun akhir semasa berada di tahun ketiga di universiti. Jika pada masa tersebut saya merujuk kepada ratusan jurnal penyelidikan bagi menghasilkan tesis yang terbaik kini saya terpaksa merujuk kepada pekeliling, surat edaran, minit mesyuarat dan pelbagai lagi dokumen bagi menyiapkan satu kertas kerja yang terbaik. Jadi saya kira pengalaman menyiapkan tesis semasa di universiti dulu telah banyak membantu saya dalam melaksanakan tugas saya sekarang.

Di sebalik kesibukan saya menjalankan tugas-tugas saya sebenarnya terpaksa meluangkan sedikit masa bagi menulis blog pada kali ini. Saya ingin berkongsi satu cerita dengan para pembaca sekalian. Saya juga inginkan pendapat saudara dan saudari kalian berkenaan dengan perkara ini. Baru-baru ini saya telah menerima satu mesej daripada seseorang melalui laman web Friendster. Saya sebenarnya tidak mengenali beliau dan beliau bukan merupakan salah seorang daripada rakan Friendster saya. Menerima mesej atau komen daripada sesiapa sahaja termasuk daripada mereka yang tidak saya kenali bukanlah satu masalah kepada saya. Malahan saya sangat menghargainya. Bagi saya itu menunjukkan bahawa kawan itu adalah universal sifatnya. Bertegur sapa antara kita sememangnya patut menjadi amalan. Sama juga dengan senario di dalam lif. Pernahkah saudara dan saudari menegur orang yang tidak dikenali yang berada bersama-sama dengan saudara dan saudari di dalam lif? Kebanyakan daripada kita lebih suka mendiamkan diri sambil melakukan perbuatan-perbuatan sendiri seperti melihat penunjuk aras di dalam lif, melakukan sesuatu dengan telefon bimbit masing-masing dan sebagainya. Saya sendiri juga sebenarnya begitu. Tetapi pengalaman saya menaiki lif di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya memberikan pandangan yang berbeza. Pada suatu pagi saya menunggu di aras 'G' pangsapuri berkenaan bersama dengan seorang wanita yang di tangan kanan dan kirinya sarat memegang bungkusan barang-barang basah seperti sayur, ayam dan ikan. Saya pasti wanita tersebut baru sahaja pulang daripada pasar. Apabila pintu lif terbuka kami sama-sama memasuki lif tersebut. Belum sempat pun pintu lif tertutup, wanita itu dengan penuh sukar cuba menekan butang aras di dalam lif tersebut. Dengan pantas saya terus berkata kepada wanita tersebut: "Tak apa, kak. Akak nak pergi tingkat berapa, biar saya tekan." "Tingkat 8. Terima kasih," balas wanita tadi. "Sama-sama. Banyak barang akak beli?" saya cuba meramahkan diri. "Ohh.. akak berniaga kat bawah flat ni. Berniaga nasi lemak dan kuih waktu pagi, nanti bila-bila singgah la gerai akak kat bawah" balas wanita tadi dengan penuh mesra. "InsyaAllah, tapi saya tak tinggal di sini. Lain kali kalau saya datang lagi saya singgah ye'' kata saya kepada wanita tadi.

Pengalaman saya tersebut sebenarnya memperlihatkan kepada kita akan sikap kebanyakkan daripada kita yang sukar untuk bertegur sapa dengan orang yang tidak dikenali. Wanita yang sama-sama menaiki lif bersama saya tersebut sanggup bersusah-payah untuk menekan butang lif daripada meminta pertolongan daripada saya untuk menekan butang aras untuknya. Namun, dengan sedikit permulaan bicara, akhirnya saya dan wanita tersebut boleh berborak dengan lebih panjang lagi. Namun sindrom tidak bertegur sapa ini sebenarnya lahir daripada sikap prejudis dan pendekatan langkah berjaga-jaga yang kita ambil. Maklum sahajalah dengan kes-kes jenayah yang berleluasa pada hari telah menyebabkan kita tidak boleh mempercayai orang asing dan orang yang tidak dikenali dengan sewenang-wenangnya. Saya sendiri pernah ditipu oleh seseorang penunggang motosikal yang bertanya arah jalan semasa saya berjalan di tepi jalan raya suatu masa dahulu. Diharap senario ini akan berubah dari semasa ke semasa. Dunia sepatutnya menjadi tempat yang penuh keindahan, bukan dipenuhi dengan kerisauan dan prejudis.

Baiklah, berbalik kepada cerita mengenai mesej yang saya terima daripada seseorang melalui akaun Friendster saya. Saya namakan insan yang menghantar mesej tersebut sebagai A sahaja. Mesejnya berbunyi begini:

emm..nak tanya ckit..nape orang melayu lebih suka kepada karya barat? contohnya membaca pun lebih kepada karya barat, menonton pun lebih kepada karya barat, adakah karya melayu low class atau pun takut di katakan not up to date? sori la, ini cuma dari pemerhatian saya je..rata2 ramai yang tulis kat profile suka tengok cite omputih,baca buku omputih, ape2 je la..may be bila tulis cam tu, persepsi orang yang tengok mungkin lebih up ckit kot..wallahua'lam..pe pun, saya yang x seberapa ni berpendapat x salah kita tengok or baca karya luar, tapi as a government servant and a malaysian, utamakan dulu la yang kita punya..yang luar just addition je..x semestinya yang utamakan identiti bangsa ni low class or not up to date..ingat la x kan melayu hilang di dunia..jangan marah ye..just bagi pandangan..msia pun dah 50 tahun merdeka, jangan minda kita still di jajah..

Terus terang saya katakan saya terkedu seketika membaca mesej ini kerana saya tidak mengenali si penghantar mesej dan beliau langsung tidak memperkenalkan dirinya terlebih dahulu. Seperti yang telah saya katakan tadi, bertegur sapa sememangnya patut menjadi amalan tetapi mestilah dengan cara yang tertib. Walaupun A hanya menyerbu begitu sahaja, saya tetap membalas mesej beliau kerana menjadi tanggungjawab kita untuk mengingatkan diri kita sendiri dan orang-orang di sekeliling kita supaya belajar daripada kesilapan dan membuka lembaran baru yang lebih bermakna sesama kita. Mesej balasan yang saya hantar kembali kepada A adalah seperti berikut:

Terima kasih atas komen dan pandangan saudari. Walaupun saya tak kenal saudari dan saudari tak kenal saya tapi itu tak bermakna saya akan akan kata saudari tak sepatutnya memberi komen kepada orang lain yang saudari tidak kenal. Sebagai rakan sebangsa dan seagama saya rasa tegur menegur tak menjadi masalah. Cuma satu sahaja, saudari sepatutnya memperkenalkan diri terlebih dahulu sebelum terus sahaja menyerbu. Yalah, kita nak masuk rumah orang pun bagi salam kan..

Bila bertemu dengan orang yang baru dikenali pula kita dengan senang hatinya akan memperkenalkan diri kita sebelum meneruskan bicara dengan lebih lanjut lagi.Tak manis kalau kita menegur orang lain yang langsung kita tidak kenal dan tidak memberi peluang untuk orang itu mengenali kita. Tapi tak mengapalah, saudari anggaplah itu sebagai satu pengajaran...

Baiklah, berbalik kita kepada komen saudari mengenai orang Melayu yang mengagungkan karya2 Barat berbanding dengan karya tempatan termasuklah novel dan filem. Saudari juga menegur saya bahawa sebagai seorang pegawai kerajaan dan rakyat Malaysia saya patut mendahulukan karya2 tempatan.

Pertama, tahniah sebab saudari nampaknya mendahulukan karya2 tempatan. Cuma diharap kalau saudari benar2 menghayati karya2 tempatan janganlah menggunakan bahasa rojak seperti dalam komen saudari. Saya sebenarnya tidak salahkan saudari tapi lihat sahajalah cereka, drama dan filem2 tempatan, semuanya menggunakan bahasa rojak. Perkataan awak diganti dengan you dan saya pula diganti dengan I. Mungkin saudari terpengaruh dengan keadaan sebegitu.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa dakwaan saudari bahawa saya mendahulukan karya daripada luar supaya orang pandang tinggi kpd saya adalah tidak benar sama sekali. Dengan hanya membaca profil friendster saya adalah tidak wajar dan tidak adil untuk saudari membuat tuduhan sebegitu. Adakah saudari pernah membaca sekurang-kurangnya lima daripada novel yang telah saya baca sebelum ini? Misalnya novel The Kite Runner yang mengisahkan tentang dua sahabat warga Afghanistan yang sangat menyentuh perasaan dan novel A Painted House yang mengisahkan kesukaran hidup sebuah keluarga yang menanam kapas bagi menyara hidup di Arkansas. Atau pun novel The Harmony Silk Factory yang mengisahkan seorang lelaki Cina di Tanah Melayu pada zaman sebelum merdeka. Atau pun novel The Historian yang mengadaptasi kisah seorang pemerintah kejam Vlad Dracul di Eropah Timur suatu masa dahulu ke sebuah fiksyen yang sangat indah dan penuh dengan nilai sejarah. Sedarkah saudari apa yang saya nyatakan di sini adalah merupakan hanya sekelumit daripada kisah2 yang membawa jutaan makna dan nilai kepada pembacanya. Ia ibarat satu pengembaraan yang penuh dengan ilmu dan pengajaran yang bermakna. Saya membaca dan menyukai novel2 tersebut bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi saya puas dengan segala yang saya perolehi dengan membacanya. Hakikatnya, jika novel2 tempatan mempunyai variasi cerita dan plot seperti novel2 Barat, pasti saya akan membacanya juga. Tapi malang sekali novel2 tempatan kebanyakannya hanya bertemakan cinta. Karya2 dengan tema yang lain hanya boleh dibilang dengan jari..

Pernahkah saudari membaca novel2 daripada Sasterawan Negara misalnya karya-karya Datuk A. Samad Said? Jika saudari pernah membaca Novel Lantai T Pinkie atau Salina karyaA. Samad Said, saudari pasti sedar bahawa betapa tandusnya karya-karya tempatan pada hari ini jika dibandingkan dengan kehebatan karya2 A. Samad Said. Membaca karya2 hebat daripada Barat tidak bermakna saya meminggirkan karya tempatan dan menjadikan minda saya dijajah. Hakikatnya, mereka yang membaca novel2 Melayu yang penuh kisah cinta romantis yang memualkan dan jauh sekali dengan adab dan budaya Melayulah yang sebenarnya masih dijajah mindanya. Jadi, saya tidak membaca karya2 Barat kerana merasakan karya Barat itu lebih bagus dan untuk berbangga diri tapi saya tidak diberikan peluang untuk mencintai karya2 tempatan. Mana perginya karya2 hebat seperti Salina dan Lantai T Pinkie? Takkanlah kita orang Melayu hanya perlu baca kisah cinta semata-mata. Kita perlu megembara dan meneroka ilmu dan pengetahuan. Hakikatnya, karya2 Barat banyak memberikan peluang untuk semua itu. Novel The Historian misalnya membawa pembaca menjelalah ke Turki, Romania dan sebagainya. Nilai sejarahnya sangat eksplisit. Sukar untuk kita mencari novel tempatan yang begitu, bukan?

Filem2 dan drama tempatan juga tidak lari daripada tema yang sama iaitu komedi dan cinta. Tidak banyak filem yang mempunyai 'nilai' yang tingi. Mujurlah ada sutradara yang kini banyak menghasilkan filem2 yang boleh dikatakan mempunyai jiwa. Karya2 Yasmin Ahmad misalnya seperti Gubra dan Mukhsin melihatkan ketulusan dalam ceritanya. Saya pasti saudari telah menonton filem2 Yasmin Ahmad jika saudari benar2 menyayangi karya2 tempatan. Saya menonton kedua-duanya. Karya tempatan dan juga Barat. Saya amat menyukai filem Mukhsin yang begitu tulus dan ikhlas. Saya juga amat menyukai filem Bukit Kepong arahan Dato Jins Samsudin. Kalaulah filem2 tempatan semuanya seperti Bukit Kepong atau Mukhsin, alangkah indahnya kerana penuh dengan nilai dan jiwa yang bukan sahaja dapat meningkatkan jati diri bangsa Melayu tetapi juga memberikan seribu pengajaran buat semua. Filem Hati Malaya 1957 juga saya rasa adalah langkah baik dalam menambah koleksi filem2 sejarah tanah air. Buat pengetahuan saudari, saya tonton semua filem2 Melayu yang bercorak patriotisme seperti Leftenan Adnan, Embun dan Paloh. Sifat filem sama juga seperti novel. Filem bukan sekadar filem. Saya menonton filem bukan hanya untuk suka2 dan seronok semata-mata. Memang benar saya tonton filem bersama rakan dan keluarga sebagai satu hiburan.Saya tonton Jangan Pandang Belakang sebagai satu hiburan tetapi saya tonton Mukhsin,Cinta dan Gubra sebagai satu wadah penyampaian nilai kehidupan. Filem Melayu kurang elemen peyampaian tersebut.

Pernah saudari menonton sekurang-kurangnya lima daripada filem2 Barat yang telah saya tonton dan saya jadikan sebagai filem kegemaran saya? Filem The Shawshank Redemption mengenai harapan. Ya, harapan! Jika saudari menonton filem ini saudari akan faham bahawa harapan adalah satu unsur yang boleh membawa kita ke mana sahaja dan mengecap segala yang kita cita-citakan. Temanya kecil sahaja tapi percayalah, dengan menontonya saudari akan mendapat inspirasi untuk terus berusaha gigih tanpa putus asa kerana harapan saudari untuk berjaya takkan padam. Atau pun filem Crash yang mengisahkan bagaimana sikap prejudis dan perkauman tidak akan membawa kita jauh dalam kehidupan ini. Juga filem The Schindler's List mengenai seorang rakyat German yang menjadi wira penyelamat orang-orang Jewish (Yahudi) daripada menjadi mangsa kekejaman Nazi di bawah pimpinan Adolf Hitler. Nilai kemanusiaan dan jiwa yang luhur dalam The Schindler's List mengajar kita akan erti keamanan, kemanusian dan persaudaraan yang tidak mengenal bangsa, negara dan sesiapa sahaja. Bagaimana pula dengan filem Cinderella Man yang mengisahkan semangat jitu seorang peninju yang berusaha keras menjuarai kejuaraan utama bagi membela nasib keluarganya yang hidup dalam penuh kedaifan. Begitu juga dengan filem Mystic River yang mengisahkan bagaimana dendam dan kesilapan diri sendiri akibat membiarkan perasaan dibelenggu dengan rasa kebenciaan menyebabkan manusia hilang pertimbangan. Ia mengisahkan seorang lelaki yang kehilangan anak tersayang akibat dibunuh sanggup membunuh rakan baiknya sendiri yang mengalami masalah 'Post-traumatic stress disorder' akibat dianiya secara seksual semasa zaman kanak-kanaknya kerana dibelenggu perasaan dendam. Saya rasa, tidak perlulah saya menceritakan dengan panjang lebar mengenai jalan cerita Mystic River yang memberi seribu pengajaran buat penontonnya.


Jadi cuba saudari namakan kepada saya filem-filem tempatan yang mempunyai nilai dan jiwa yang begitu tinggi seperti filem2 yang telah saya tonton tersebut. Seperti yang telah saya perjelaskan, saya menonton filem bukan sekadar hiburan tetapi saya menonton filem seperti membaca buku. Setiap filem yang saya tonton saya akan singkap kembali segala mesej dan nilai yang dibawakan di dalamnya. Saya juga menonton filem2 yang boleh dianggap ringan daripada Barat seperti filem2 aksi, animasi dan sebagainya. Siapa yang tidak menonton Spider-Man, The Lord of the Rings, Star Wars, Harry Potter dan sebagainya. Memang saya akui saya rasa seronok dan terhibur menonton filem2 tersebut. Jika filem2 tempatan tidak dapat menjadi filem yang sarat dengan nilai dan mesej seperti filem2 daripada luar sekurang-kurangnya diharap filem2 tempatan yang kebanyakannya adalah ringan dapat dihasilkan dengan penuh bermutu seperti filem2 daripada luar. Memang Malaysia telah lama merdeka tapi tidak dapat dinafikan bahawa dunia filem tempatan masih banyak perlukan pembaharuan. Mungkin untuk hasilkan filem2 yang penuh dengan grafik CGI memerlukan masa kerana teknologi kita masih berkurangan tetapi dengan kreativiti saya yakin semuanya boleh diatasi. Kita perlu banyak belajar daripada negara2 jiran seperti Indonesia dan Thailand yang banyak menghasilkan filem2 yang bermutu walaupun mereka juga tidak jauh bezanya dari segi kepakaran dan kebolehan dalam dunia perfileman. Filem Ong-Bak daripada Thailand misalnya telah menjadi antara filem aksi daripada Asia yang ditonton oleh masyarakat seantero dunia. Filem aksi Malaysia masih belum boleh pergi ke mana-mana. Tapi itu tak bermaksud kita takkan berjaya. Kita sememangnya akan berjaya dengan usaha dan keazaman untuk menghasilkan yang terbaik. Kita
juga mesti tidak boleh bersikap sombong dan sentiasa sedia untuk belajar. Saya tonton filem2 Melayu yang mempunyai pembaharuan dan dapat mencetuskan inspirasi.
Saya tonton Puteri Gunung Ledang, Cicak-Man dan Jangan Pandang Belakang yang mempunyai nafas baru dalam industri filem tempatan. Pujian harus diberikan walaupun masih terdapat kelemahan di sana sini. Saya tonton dan saya sokong industri filem tempatan. Dalam masa yang sama saya juga menonton dan menyukai filem2 Barat atas sebab2 yang saya nyatakan sebelum ini. Jadi, adakah saya dianggap meminggirkan karya2 tempatan? Adakah salah saya menyukai sesuatu yang terbaik walaupun ia datang daripada luar? Adakah saya dianggap sebagai orang Melayu yang lupa asal usul dan jati diri kerana suka kepada karya2 Barat?

Bayangkanlah saudari, anak Melayu kini sudah meneroka angkasa raya. Betapa banyakknya ilmu mengenai astrofizik, astronomi dan kejuruteraan angkasa yang kita pelajari daripada negara luar seperti Russia. Angkasawan kita berkampung setahun di Star City bagi melengkapkan diri sebelum menawan angkasa lepas. Ironinya, kita masih bercakap tentang kebolehan kita menghantar rakyat ke angkasa. Dengan wang ringgit, saya dan saudari boleh membayar kepada NASA untuk menjadi pelancong angkasa…tidak perlu perkara2 lain. Maksud saya di sini ialah elemen ilmu dan pengetahuan yang tiada berpenghujungnya itu. Sudah tiba masanya kita pula menjadi negara yang menjadi rujukan bagi ilmu astronomi. Namun untuk itu kita perlu belajar, kita perlu celikkan mata, kita perlu buka minda dan sanggup menimba ilmu walaupun ilmu itu nun jauh di seberang benua. Tiada salahnya...kerana di situ adalah yang terbaik dan kita juga mahu menjadi yang terbaik. Lupakah kita kepada asal usul kerana belajar daripada orang luar? Dijajah kita lagi hanya kerana melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan waima ilmu itu daripada luar? Tidak sama sekali! Kita menghantar angkasawan kita ke Star City kerana Rusia adalah negara yang jauh ke hadapan dalam penerokaan angkasa. Ditambah pula kita tiada kepakaran, tiada pengalaman tapi kita perlu meningkatkan kebolehan demi kesejahteraan sejagat. Projek Angkasawan amat berkepentingan kerana bukan sahaja meletakkan Malaysia selangkah lagi ke hadapan tetapi juga sebagai platform untuk kecemerlangan dalam bidang penyelidikan bagi masyarakat Malaysia khususnya dan dunia amnya melalui kajian2 perubatan dan kaji hayat yang dijalankan di angkasa lepas.

Untuk menjadi yang terbaik saudari, kita tidak boleh biarkan diri kita dibelenggu dengan rasa takut dan bersikap sombong. Apa yang datang daripada luar kita perlu asimilasikan dengan cara yang terbaik. Misalnya seorang remaja sekolah, janganlah selepas menonton filem American Pie, terus terpengaruh untuk menghilangkan daranya sebelum tamat sekolah menengah seperti remaja2 dalam filem tersebut. Itu barulah dikatakan sebagai pemikiran yang masih dijajah. Malahan bagi pandangan saya sendiri juga filem2 sebegitu tidak harus ditonton pun, tetapi jika filem Crash, Babel atau pun The Pianist betapa banyak yang kita boleh pelajari daripada filem2 tersebut yang kadang kala amat sukar untuk ditemui dalam filem2 tempatan.

Saudari, saya sebenarnya berasa sedikit kecewa dengan persepsi saudari mengenai mereka yang menyukai karya2 Barat hanyalah untuk tujuan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk. Tuduhan yang saudari lemparkan tersebut bukan sahaja jauh terpesong daripada kebenaran tetapi juga sebenarnya ibarat bagai meludah ke langit. Jika saudari benar2 menyanjung tinggi karya2 tempatan dan telah benar2 mendapat nilai dan pengajaran daripadanya, saudari tidak sama sekali akan membuat dakwaan sedimikian atau sekurang-kurangnya saudari akan memperkenalkan diri dan memberikan pandangan dengan cara yang lebih berhemah. Saya risau jika karya2 tempatan telah membuatkan saudari jadi begitu. Tapi tak mengapalah, di harap kita sama2 mengambil pengajaran.

Walaubagaimana pun,saya tidak ambil hati kerana saya harap sudari, saya dan kita semua sebagai bangsa Melayu sentiasa belajar. Kita perlu bersiap sedia untuk mengharungi cabaran globalisasi dan dunia akan datang yang sangat mencabar. Jika Pak Lah saban hari bercakap mengenai pembangunan modal insan, kita tidak boleh lari daripada elemen terpenting dalam pembangunaan modal insan iaitu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan. Sentiasalah ingat bahawa ilmu itu luas tanpa sempadan. Ia berada di mana2 sahaja. Allah lemparkan ilmu itu di serata alam ini....hanya tinggal kepada manusia untuk mencarinya. Kita juga harus bijak menggunakan akal dan fikiran yang dikurniakanNya agar kita mendapat manfaat dan mendapat yang terbaik buat kejayaan kita dunia dan akhirat...

Wassalam....

Begitulah mesej balasan yang saya hantar kepada saudari A. Saya percaya para pembaca sekalian mempunyai pelbagai pandangan mengenai perkara ini. Mungkin ada di antara kalian berpendapat seperti A dan ada pula yang di sebaliknya. Akhir kata, saya harap setiap daripada kita dapat menghayati setiap daripada perkara yang kita lihat dan yang kita dengar. Dengan itu, hidup akan menjadi lebih bermakna. Sehingga bertemu kembali... :-)

4 comments:

papaYA said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Naz said...

ler... letak le.. apa salahnya. aku pun dh letak blog ko dlm blog list aku...

Al Hadi said...

wow... ini ialah entry kau yang terbaik setakat ini!

Anonymous said...

u should have put also the original post (coz i'm too lazy to check out the old one...lol!)

++>nzard