Thursday, June 28, 2012

Duduk dan Royan

Sudah lama saya tidak menulis mengenai isu psikologi di blog ini. Kali terakhir saya menulis mengenai psikologi adalah lebih tiga tahun lalu iaitu fenomena ditindih semasa tidur atau sleep paralysis. Kali ini saya terpaksa menulis lagi tentang psikologi iaitu fenomena meroyan kerana sudah terikat kepada perjanjian blog secara berjemaah dengan rakan-rakan blog yang lain. 

Berikut adalah tafsiran royan menurut Kamus Dewan Edisi Ke-Empat:
"sejenis penyakit pada perempuan yang datang sesudah bersalin; ~ tahi: penyakit berak-berak sesudah bersalin; meroyan menderita sakit sesudah bersalin, dihinggapi royan"

Ya, saya tahu tafsiran kedua menurut Kamus Dewan itu agak sedikit kelakar. Sudah. Berhentilah ketawa. Mari kita sambung perbincangan ilmiah mengenai meroyan. 

Dari segi perubatan klinikal, meroyan dikenali sebagai Pospartum Depression. Ia merupakan sejenis kemurungan klinikal yang berlaku kepada wanita selepas bersalin. Meroyan boleh berlaku seawal 2 minggu selepas kelahiran. Antara simptom-simptom meroyan adalah berasa sedih, kesunyian dan putus harapan yang keterlaluan, berasa bersalah, kepenatan dan mengalami masalah untuk tidur. Dalam beberapa kes yang lebih kronik, terdapat wanita meroyan yang berhalusinasi dan berasakan anak yang dilahirkan bukan anaknya. Keadaan ini amat berbahaya kerana wanita berkenaan cenderung untuk membunuh bayi yang baru dilahirkannya. 

Punca sebenar meroyan masih belum dapat diketahui sepenuhnya oleh Pakar Perubatan dan Ahli Psikologi. Namun demikian, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa antara punca berlakunya meroyan ialah perubahan hormon yang signifikan semasa dan selepas mengandung. Punca meroyan juga dikaitkan dengan pelbagai faktor lain seperti kemurungan dan tekanan yang dihadapi semasa mengandung. Jadi kepada rakan-rakan wanita dan adik perempuan saya yang sedang mengandung ketika ini, jangan stresskan diri anda ya! Terutama kepada Yaya yang bekerja 7 hari seminggu tu. Relax, friend! Screw work!

Namun seperti biasa fenomena psikologi seperti sleep paralysis banyak bergantung kepada budaya setempat. Dalam masyarakat Melayu misalnya, meroyan dikatakan berpunca daripada makhluk halus. Dipercayai bahawa darah wanita yang keluar semasa bersalin amat disukai oleh makhlus halus. Maka, sekiranya tidak dibersihkan dengan sempurna selepas bersalin, makhluk halus dikatakan akan mendiami organ peranakan wanita dan menyebabkan wanita berkenaan meroyan. Wallahualam.

Terdapat banyak cara untuk mengelakkan daripada berlakunya royan. Antaranya wanita yang mengandung perlu menghindari stress, mendapatkan tidur yang cukup, makan makanan yang sihat dan seimbang, bersikap positif serta bergerak aktif dengan melakukan senaman ringan. Jadi, kepada kawan-kawan dan adik saya yang sedang mengandung tu jangan duduk diam sahaja, rajin-rajinlah bersenam ya!

8 comments:

Pingu Toha said...

MANA PART DUDOKNYEW???

Naz said...

Pingu yang ala2 model celop: Ni mesti tak baca sampai habis ni! Ciss!

Khadijah said...

Pengsan!!!!!!!!!

Naz said...

Kak DJ: Kenapakah pengsan?

Amri said...

Motip entri yang boleh dicopy masuk ke dalam Wikipedia?????

Naz said...

Am: Sekali sekala entri ilmiah apa salahnya, slalu entri 'meroyan' je kan? Haha!

Tomei Boboyot said...

Macam mana plak dengan org yg mengandung, kerojer nyer asyik tido jer...??

Naz said...

Tomei Boboyot: Org yg mengandung tak boleh asyik tido je kot, kena aktifkan diri (tidaklah terlalu aktif sangat sampai boleh menjejaskan kesihatan diri+kandungan), barulah ibu dan bayi sama2 sihat kot. Hehe!