Tuesday, October 13, 2009

Gamat


Tempoh hari saya pergi menonton sebuah teater muzikal kanak-kanak di Istana Budaya . Sudah lama tidak menonton teater di Istana Budaya. Kali terakhir saya menonton teater di situ pada tahun lalu. Lagipun, masa tidak mengizinkan walaupun banyak pementasan tempatan dan antarabangsa yang menarik dipentaskan di Istana Budaya sepanjang tahun. Faktor kewangan turut membantutkan niat untuk kerap menonton teater. Mana tidaknya, harga tiket menonton teater bukan seperti harga tiket wayang. Harganya pula berbeza mengikut lokasi tempat duduk di dalam Panggung Sari dan jenis pementasan.

Disebabkan sudah lama tidak menonton teater, saya bersama beberapa orang rakan ke Istana Budaya untuk menonton sebuah teater muzikal kanak-kanak bertajuk Gamat. Ia berlatar belakangkan kehidupan laut yang penuh warna-warni. Mengisahkan si Ibu Gamat (Amy Mastura) dan Bapa Gamat (Zuhairi Ibrahim) yang mencari anak-anak mereka, Gama (Anith Aqilah OIAM) dan Mat (Aidil Solehin) yang hilang ketika bermain di Taman Plankton. Teater ini turut dibintangi Datin Natasha Hudson (Ikan Buntal) dan Syukor Ibrahim (Penyu) serta lebih 80 orang pelakon tambahan yang membawa watak pelbagai hidupan laut seperti ketam, udang kara, obor-obor, sotong, sotong kurita, baracuda, kuda laut, tapak sulaiman, umang-umang, landak laut dan sebagainya.

Terus terang saya katakan, teater ini adalah teater paling menghiburkan yang pernah saya tonton. Selama dua jam setengah, penonton dihiburkan dengan pelbagai lagu dan tarian hidupan laut yang berwarna-warni dan mengasyikkan. Kostum dan hiasan pentas sangat menakjubkan. Maklum sahajalah dengan Istana Budaya yang diiktiraf sebagai antara opera house terbaik dan tercanggih di dunia. Rekaan pentas dan latar belakang boleh diubah bagi setiap babak dengan sekelip mata. Teater Gamat tidak terkecuali dalam menggunakan kecanggihan Istana Budaya sepenuhnya. Taman Plankton yang indah, markas obor-obor yang menyeramkan, tempat tinggal sotong kurita yang gah, kawasan bermain ketam dan udang yang berwarna-warni serta tinggalan kapal karam yang menjadi tempat si tiram mempamer kecantikan mutiara ditukar silih berganti sepanjang pementasan. Sangat mengasyikkan!

Teater ini juga penuh dengan dialog-dialog dan aksi-aksi yang amat mencuit hati. Saya amat menyukai watak Mat yang dilakonkan oleh Adik Aidil Solehin. Saya kira usianya mungkin tujuh atau lapan tahun tapi beliau amat berbakat besar. Gelagatnya pasti akan membuat semua tertawa. Lakonan pelakon lain seperti Amy Mastura, Datin Natasha Hudson dan Anith Aqilah juga amat mantap dan menghiburkan. Pelakon-pelakon tambahan lain terutamanya kanak-kanak juga tidak kurang hebatnya. Semuanya boleh berlakon, menari dan menyanyi dengan sangat baik.

Apa yang saya dapat simpulkan, Gamat adalah antara teater muzikal kanak-kanak yang amat mengiburkan pernah dipentaskan di Istana Budaya. Jika dulu orang selalu memperkatakan tentang teater Siti di Alam Fantasi dan Ali Baba, kini Gamat juga akan menjadi sebutan ramai apabila berbicara mengenai teater kanak-kanak. Tambahan pula ia adalah teater pertama di Malaysia yang berlatarkan lautan. Diharap lebih banyak teater yang seceria Gamat sama ada bergenre muzikal atau tidak dipentaskan di negara ini. Saya tahu Puteri Gunung Ledang The Musical memang sudah menjadi benchmark bagi teater muzikal di Malaysia. Kini Gamat pula menjadi benchmark bagi teater muzikal kanak-kanak!

Nota: Teater Cuci The Musical akan dipentaskan di Istana Budaya tidak lama lagi. Tetapi harga tiketnya lebih mahal daripada pementasan biasa (harga tiket daripada RM43 hingga RM253). Kalaulah harganya murah sedikit..... sigh!

2 comments:

marmalade said...

the last time i watched a show at istana budaya was on merchants of bollywood =) best gile!

and tak pernah tak rasa kagum setiap kali melangkah masuk ke istana budaya. hihihi.

Encik Moshuchi said...

kat istana budaya, aku pernah masuk tengok persembahan tarian china (penari2 dari china) pada 2006..mmg best sbb dapat duduk tempat vvip hehe..persembahan dorang mmg menakjubkan.

teringat zaman sekolah rendah, ketika memegang watak hang jebat masa persembahan hari guru...hurmmm