Thursday, December 24, 2009

Sendiri

dakap angin di sisi
bawa aku pergi
jauh dari sini
bergetar, gundah dalam diri
lalu di balik awan sepi
menyusuri lautan tak bertepi
berhenti
kenapa mesti di sini?
resah menyelubungi
takut menghantui
tapi
takdirnya memang begini

Thursday, December 17, 2009

Semalam, Hari Ini dan Esok

Semalam dunia amat kelam
Suram
Bagai makan tidak berulam
Bagai geta tidak bertilam
Bagai lata tidak berjeram
Bagai puteri tidak bersiram
Bagai taman tidak berkolam

Hari ini dunia terang bercahaya
Sempurna
Bagai malam dihias kejora
Bagai lagu indah berirama
Bagai hati penuh berjiwa
Bagai taman cantik berbunga
Bagai punya teman setia

Esok segalanya tiada pasti
Ada jalan panjang yang menanti
Entah seperti semalam atau hari ini
Entah penuh ranjau dan duri
Mungkin jua penuh cahaya dan seri
Hanya Tuhan yang mengerti

Walau apa yang datang membatas
Renunglah ke langit luas
Semesta tidak terbatas
Terbanglah bersama unggas
Selami erti bebas
Kedamaian kan pasti bertunas

Walau apa yang datang menyanggah
Lihatlah Taj Mahal tersergam megah
Bukti kasih tak pernah bercanggah
Kerana ia sempurna dan indah

Nota: Puisi ini telah dideklamasikan semasa majlis perkahwinan adik perempuan saya pada 12 Disember yang lalu. Buat Ann dan Shah, moga kalian berdua kekal bahagia hingga ke akhir hayat

Friday, December 4, 2009

Engkau

Indah. Cantik. Bercahaya
Semuanya adjektif sempurna
Itu yang kau saksi dengan mata
Itu yang kau percaya dengan jiwa
Hakikatnya kau masih teraba-raba
Mencari apa yg kau damba
Kau sebenarnya mengejar fatamorgana
Kau takkan ke sana
Kerana ia hanya satu dusta
Walau kau terseksa
Walau kau merana
Walau kau meronta
Apa kau fikir damai kan tercipta?
Apa kau fikir kau kan bahagia?
Kalau sekadar bertinggung di tangga
Tanpa usaha dan bicara

Tuesday, December 1, 2009

Karaoke

Ingin menyaksikan kelainan dalam filem Malaysia? Tontonlah Karaoke. Kini sedang ditayangkan hanya di GSC Mid Valley Megamall dari 26 November hingga 2 Disember. Filem ini bukan filem aliran perdana. Tapi ia filem berjiwa. Menyampai metafora kehidupan yang perlu sentiasa kita fikirkan...

Zahiril Adzim sebagai Betik dalam Karaoke