Friday, June 19, 2009

Malu

Dua hari yang lalu saya ke sebuah pusat rawatan hemodialisis swasta di Cheras. Ada urusan yang perlu dilaksanakan di sana. Saya tidak pernah ke mana-mana pusat rawatan hemodialisis sebelum ini. Hanya pernah menonton di tv sahaja. Tidak pernah melihat sendiri bagaimana proses hemodialisis dilakukan. Tidak pernah melihat sendiri bagaimana peritnya mengalami kegagalan buah pinggang, antara organ terpenting yang dicipta Tuhan untuk manusia.

Namun begitu kelmarin saya telah melihat dan merasai semuanya sendiri. Apabila melangkah sahaja masuk ke dalam pusat hemodialisis tersebut dan melihat wajah-wajah mereka yang sedang menjalani rawatan hemodialisis membuat hati saya berasa sayu. Termanggu saya seketika melihat keadaan mereka. Hati saya bertambah runtun apabila mendengar bahawa mereka terpaksa melakukan hemodialisis sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Setiap sesi hemodialisis memakan masa sehingga empat jam. Betapa banyak masa yang terpaksa mereka habiskan di pusat rawatan tersebut. Saya lihat ada di antara mereka yang tidur, makan dan berbual semasa darah mereka bergerak melalui tiub-tiub yang berselirat memasuki mesin cucian darah. Ada juga yang hanya termenung sendirian dengan pandangan lesu dan tidak bermakna. Saya faham, hidup mereka pasti tidak lagi seindah dahulu. Tidak lagi dapat menghabiskan masa bersama keluarga tersayang. Tidak lagi dapat melihat keindahan dunia di luar sana. Tidak lagi dapat bergelak tawa bersama rakan di kedai kopi.

Namun mereka semua tetap tersenyum apabila saya datang menghampiri mereka. Juga sudi bercerita apabila ditanya. Tampak seperti kesulitan dan kesakitan itu tiada tapi saya tahu jauh di dalam sudut hati mereka tersimpan segala kisah duka dan sengsara. Saya tahu mereka bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan kesakitan tetapi juga dengan bebanan kewangan. Bayangkanlah, satu rawatan hemodialisis memerlukan kos sehingga RM150. Mujurlah Kerajaan memperuntukkan subsidi RM50. Dengan kos RM100 setiap rawatan, tiga kali seminggu memerlukan RM300. Sebulan, RM1200. Setahun, RM14,400. Astafirullah!! Betapa beratnya ujian dan dugaan yang terpaksa mereka semua lalui. Tapi mereka tetap tabah, kuat dan cekal menghadapi segala kesulitan dan beban yang terpaksa mereka pikul.

Hati saya tidak tertahan untuk menangis. Hiba. Pilu. Malu!! Malu kerana diri ini selalu sahaja merungut apabila menghadapi sedikit kesukaran. Apalah sangat dengan sakit demam, selesema dan migrain yang selalu saya hidapi ini jika dibandingkan dengan mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang. Apalah sangat tidak dapat keluar berlibur sehari dua kerana terbaring demam di rumah jika dibandingkan dengan 48 jam sebulan duduk di atas kerusi melihat darah sendiri dicuci oleh mesin!


"Tuhan yang menciptakan aku (dari tiada kepada ada), maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku. Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku. Dan (Dialah) yang mematikanku, kemudian Ia menghidupkan aku. Dan (Dialah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari Kiamat"

[Asy-Syu'araa':78-82]

Friday, June 12, 2009

Bila?

Bila kelana kan kembali?
Rindu bersarang di hati

Bila hujan kan turun?
Kemarau sudah berkurun

Bila derita kan tamat?
Semakin lemah dan tenat

Bila perang kan habis?
Semangat sudah terhakis

Bila damai kan tercipta?
Hati tidak lagi berkata