Thursday, June 28, 2012

Duduk dan Royan

Sudah lama saya tidak menulis mengenai isu psikologi di blog ini. Kali terakhir saya menulis mengenai psikologi adalah lebih tiga tahun lalu iaitu fenomena ditindih semasa tidur atau sleep paralysis. Kali ini saya terpaksa menulis lagi tentang psikologi iaitu fenomena meroyan kerana sudah terikat kepada perjanjian blog secara berjemaah dengan rakan-rakan blog yang lain. 

Berikut adalah tafsiran royan menurut Kamus Dewan Edisi Ke-Empat:
"sejenis penyakit pada perempuan yang datang sesudah bersalin; ~ tahi: penyakit berak-berak sesudah bersalin; meroyan menderita sakit sesudah bersalin, dihinggapi royan"

Ya, saya tahu tafsiran kedua menurut Kamus Dewan itu agak sedikit kelakar. Sudah. Berhentilah ketawa. Mari kita sambung perbincangan ilmiah mengenai meroyan. 

Dari segi perubatan klinikal, meroyan dikenali sebagai Pospartum Depression. Ia merupakan sejenis kemurungan klinikal yang berlaku kepada wanita selepas bersalin. Meroyan boleh berlaku seawal 2 minggu selepas kelahiran. Antara simptom-simptom meroyan adalah berasa sedih, kesunyian dan putus harapan yang keterlaluan, berasa bersalah, kepenatan dan mengalami masalah untuk tidur. Dalam beberapa kes yang lebih kronik, terdapat wanita meroyan yang berhalusinasi dan berasakan anak yang dilahirkan bukan anaknya. Keadaan ini amat berbahaya kerana wanita berkenaan cenderung untuk membunuh bayi yang baru dilahirkannya. 

Punca sebenar meroyan masih belum dapat diketahui sepenuhnya oleh Pakar Perubatan dan Ahli Psikologi. Namun demikian, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa antara punca berlakunya meroyan ialah perubahan hormon yang signifikan semasa dan selepas mengandung. Punca meroyan juga dikaitkan dengan pelbagai faktor lain seperti kemurungan dan tekanan yang dihadapi semasa mengandung. Jadi kepada rakan-rakan wanita dan adik perempuan saya yang sedang mengandung ketika ini, jangan stresskan diri anda ya! Terutama kepada Yaya yang bekerja 7 hari seminggu tu. Relax, friend! Screw work!

Namun seperti biasa fenomena psikologi seperti sleep paralysis banyak bergantung kepada budaya setempat. Dalam masyarakat Melayu misalnya, meroyan dikatakan berpunca daripada makhluk halus. Dipercayai bahawa darah wanita yang keluar semasa bersalin amat disukai oleh makhlus halus. Maka, sekiranya tidak dibersihkan dengan sempurna selepas bersalin, makhluk halus dikatakan akan mendiami organ peranakan wanita dan menyebabkan wanita berkenaan meroyan. Wallahualam.

Terdapat banyak cara untuk mengelakkan daripada berlakunya royan. Antaranya wanita yang mengandung perlu menghindari stress, mendapatkan tidur yang cukup, makan makanan yang sihat dan seimbang, bersikap positif serta bergerak aktif dengan melakukan senaman ringan. Jadi, kepada kawan-kawan dan adik saya yang sedang mengandung tu jangan duduk diam sahaja, rajin-rajinlah bersenam ya!

Wednesday, June 27, 2012

Sesat dalam Cahaya

Di sepanjang jalan besar itu, tiada rumah dan tiada kelibat manusia. Hanya hutan dan belukar. Sunyi

Kereta dipandu perlahan. Mata melilau ke kiri dan kanan mencari simpang ke tempat itu.

Beberapa ketika, ketemu jalan kecil berturap di sebelah kanan jalan besar. Belok ke kanan.

Sepanjang kiri dan kanan jalan kecil itu juga hutan dan belukar seperti jalan besar. Sunyi.

Jalan kecil itu berakhir. Tapi tiada apa di penghujungnya. Hanya hutan dan belukar.

Hari mula beransur gelap. Senja.

Berpeluh. Sedang pendingin hawa kereta berfungsi baik. Sejuk.

Terus memandu kereta keluar kembali ke jalan besar.

Masih berpeluh. Jantung berdegup kencang. Berdebar.

Apabila tiba di jalan besar, segera belok ke kanan dan terus memandu laju.

Sepuluh minit kemudian tiba di sebuah pekan kecil. Hari sudah gelap sepenuhnya. Melewati senja.

Hampir semua kedai di sepanjang jalan telah tutup. Hanya sebuah kedai masih dibuka. Cahaya jingga dari kedai itu satu-satunya sumber cahaya yang menerangi pekan kecil itu.

Berhentikan kereta di tepi jalan lalu masuk ke dalam kedai yang masih dibuka itu. Ketemu seorang lelaki  sedang duduk sambil membaca sebuah buku kecil.

Bertanya kepadanya tempat yang ingin dituju. Diam. Bertanya lagi. Masih diam.

Seketika kemudian, dia bangun lalu membisikkan sesuatu di telinga.

Katanya pulanglah. Nanti tidak lagi akan sesat dalam cahaya.

Thursday, June 21, 2012

Bagaimana Saya Kekal Comel dan Muda Remaja

Bagaimana saya kekal comel dan muda remaja? Kamu serius?

Diam. Angguk. Tiada suara.

Saya tiada jawapan kepada soalan kamu. Kamu tahu kenapa?

Geleng kepala. Masih tiada suara.

Soalan kamu mustahil. Tanya soalan lain.

Diam. Seketika. Kemuka soalan baharu. Bagaimana kamu masih comel dan muda remaja?

Soalan kamu retorik. Tanya soalan lain.

Diam. Lama. Kemuka soalan baharu. Bagaimana dulu kamu comel dan muda remaja?

Soalan kamu tidak intelek. Tanya soalan lain.

Terus kemuka soalan baharu. Bagaimana kamu tidak comel dan tidak muda remaja?

Soalan kamu tidak relevan. Tanya soalan lain.

Geleng kepala. Tak perlu soalan lagi. Sudah faham semuanya.